PERUTUSAN



Majlis Bandaraya Ipoh adalah Pihak Berkuasa Tempatan yang ditubuhkan sejak tahun 1893 sebagai Ipoh Sanitary Board oleh pihak British. Ia telah melalui beberapa variasi pentadbiran daripada town board kepada town council dan seterusnya menjadi Majlis Perbandaran Ipoh pada tahun 1962 dan akhirnya telah diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Ipoh pada 27 Mei, 1988. Pada hari ini, kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh meliputi 643 km persegi dengan populasi penduduk sejumlah 560 ribu orang. Terdapat 12 jabatan dengan pebagai fungsi untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pembayar cukai. Objektif utama Majlis Bandaraya Ipoh adalah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan dan kebajikan kepada warga kota Ipoh, mengekalkan kesihatan awam, perkhidmatan perbandaran, kawalan perancangan dan pembangunan, pengurusan trafik, penyelenggaraan dan infrastruktur bangunan, lesen serta penguatkuasaan undang-undang kecil PBT. Peranan MBI kini diperluaskan termasuk membantu mempromosikan pelancongan dan industri.

Sebagai penjawat awam yang paling hampir dengan masyarakat, anggota Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengetahui kehendak warga kota. Namun kehendak-kehendak yang perlu dilayan adalah kehendak yang membawa kebaikan dan kemajuan, bukanlah kehendak yang membawa kemusnahan atau menunjukkan bahawa kerajaan ini lemah dan tidak progresif. Saya berbangga kerana terdapat beberapa kawasan sedang membangun dengan pesat seperti di Greentown Business Centre yang melibatkan pembangunan bercampur iaitu institusi pengajian tinggi swasta, agensi kerajaan, pusat membeli belah dan kawasan riadah. Projek terkini adalah pembinaan kedai pejabat berhampiran Dataran Bandaraya Ipoh dan Greentown Suria yang meliputi komponen pembangunan Pusat Rawatan Islam dan bangunan pentadbiran setinggi 8 tingkat beserta unit-unit apartment dan kedai pejabat 3 tingkat. Kawasan-kawasan lain adalah di sekitar Kinta City dan TESCO, Tambun dengan adanya Sunway City dan juga di Lahat dengan pembangunan Bandar Sri Botani.

Kawasan Chemor Selatan juga akan dibangunkan sebagai hub-halal manakala kawasan pembangunan Meru pula akan dibangunkan sebagai suatu kawasan satelit kepada pusat Bandar Raya Ipoh. Kelulusan pembangunan di kawasan Buntong atas tapak seluas 37 ekar di tapak yang kini menjadi lokasi setinggan, kuarters MBI, bengkel, depo dan Pejabat Perkhidmatan Bandar adalah sejajar dengan dasar kerajaan negeri untuk menghapuskan setinggan (setinggan sifar) menjelang tahun 2015. Tapak ini akan dibina supaya mereka sama-sama dapat menikmati nikmat pembangunan seperti mana kawasan sekitarnya. Penduduk setinggan akan ditempatkan ke lokasi baru yang lebih sesuai dan selesa untuk didiami. Saya kira, peralihan lokasi tol dari Jalan Jelapang ke Jalan Kuala Kangsar juga merupakan satu rahmat kepada bandaraya ini yang mana ianya lebih hampir dengan pusat bandaraya.

Saya menyeru kepada semua anggota MBI, yang merupakan anggota kerajaan peringkat ketiga iaitu Pihak Berkuasa Tempatan, agar berazam untuk melaksanakan kerja dengan lebih berdedikasi dan sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dalam melaksanakan tugas. Jika bandaraya ini cantik, kita sendiri yang turut merasai nikmatnya. Pengunjung lain hanya menumpang menikmati kemudahan yang disediakan sedangkan kita tinggal dan menetap di sini, sudah pastilah kita mahukan yang terbaik untuk diri kita sendiri. Oleh itu, perkhidmatan-perkhidmatan yang terbaik harus diberikan, agar kita dapat menikmati hasil yang terbaik juga.


(Dato' Haji Roshidi bin Haji Hashim)

DPMP.,AMP., PPT., PJK

Datuk Bandar Ipoh.




Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More
MAJLIS BANDARAYA IPOH
Jalan Sultan Abdul Jalil,
Greentown 30450,
Ipoh Perak
Tel : 05-2083333
Fax: 05-253 7396 / 05-208 3530
Emel : mbi@mbi.gov.my

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host